19 Desember 2008

Teman tapi mesra

TEMAN tapi mesra. Ungkapan terbabit sering kedengaran di bibir anak muda, tetapi kadangkala mengelirukan bagi sesetengah pihak, namun yang pasti ia merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Berkawan tidak salah, bahkan digalakkan kerana ia selaras dengan fitrah dan membawa banyak manfaat sehinggakan dapat membuatkan hidup lebih ceria.
Cuma, berwaspada apabila kawan lebih daripada had, terlalu rapat dan intim, malah sanggup mengorbankan harga diri.

Justeru, Islam menasihati umatnya sentiasa memelihara kesopanan dan tata cara sepanjang masa, terutama apabila bersosial dan berkawan, supaya kebaikan terjaga.

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, berkata hubungan di antara lelaki dan wanita tidak ditolak secara keseluruhan. Bagaimanapun, beliau menggariskan beberapa syarat hubungan di antara kedua-dua jantina terbabit, dengan saling merendahkan pandangan dan memastikan tiada pandangan yang disusuli nafsu.

Menurutnya, wanita Islam juga patut prihatin terhadap kod pakaian Islam, yang menutupi seluruh badan, tidak ketat dan menggambarkan bentuk badan. "Akhlak yang umum sepatutnya diamalkan. Dalam perkataan lain, seorang wanita sepatutnya serius dalam ucapan dan tertib cara berjalan dan melawan godaan syaitan. Tiada wangian dipakai dari rumah."

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Mana-mana wanita yang memakai wangian dan kemudian berjalan melalui sekumpulan lelaki dan mereka mencium wangian itu, dia adalah penzina."

Al-Qaradawi juga berkata, lelaki dan wanita (bukan mahram) tidak dibenarkan bersama di satu tempat yang tiada lelaki lain.

Bagaimanapun, perkembangan mutakhir mendapati fenomena memiliki teman istimewa kian menjadi-jadi, seolah-olah ia suatu kebiasaan.Bagaimanpun, apabila teman terbabit berkelakuan di luar jangkaan, timbullah keburukan, malah bagi pelajar prestasi pelajaran merosot, selera makan menurun, bahkan untuk hidup pun tidak bersemangat.

Bekas Presiden Masyarakat Islam Amerika Utara (ISNA), Dr Muzammil Siddiqi, berkata Muslim memang sepatutnya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, lelaki dan wanita, di sekolah, tempat kerja dan kawasan kejiranan. "Tetapi Islam tidak membenarkan mengambil orang bukan mahram sebagai kawan rapat kerana hubungan seperti itu kerap membawa perkara haram."Ini memungkinkan mereka melakukan dosa atau menghabiskan banyak masa bersama," katanya sambil mengemukakan ayat 25 Surah an-Nisa sebagai satu hujah atas dakwaan berkenaan.

Jurnal Persatuan Perubatan Amerika ada melaporkan, peningkatan bilangan gadis mengadakan pertemuan sosial, berisiko berdepan dengan kekejaman, hamil, penderaan, bahaya tingkah laku seksual dan membahayakan diri.

Sheikh Ahmad Kutty, dari Institut Islam Toronto, Kanada, berkata pertemuan sosial tentu tidak dibenarkan. Menurutnya, Islam melarang umatnya berdua-duaan dengan pasangan berlainan jantina kecuali hubungan persaudaraan atau perkahwinan.

Nabi Muhammad s.a.w menegaskan: "Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka)."
-Harian Metro

15 Desember 2008

Hidup bermazhab amal tasamuh

DALAM mengerjakan tuntutan agama dan menghukum sesuatu ibadat itu sah atau batal, kita selalunya berpandukan kepada sesuatu mazhab sehinggakan bermazhab menjadi suatu kewajipan.

Apabila bermazhab ada golongan mengambil sikap selesa dengan tidak cuba menganalisis kes baru yang dikatakan kompleks sedangkan mereka mempunyai kemampuan mengemukakan justifikasinya.

Malah, sesetengahnya begitu fanatik kepada mazhab diikutinya sehingga memandang sebelah mata kepada mazhab selainnya seolah-olah puaknya saja yang sempurna.

Begitupun, menurut Datuk Abdul Monir Yaacob, dalam bukunya Perundangan Islam: Era Kemajuan Fiqh dan Kelahiran Mazhab, pembentukan mazhab fekah bukan sesuatu yang dinaskan dalam syariat Islam dan bukan juga satu perkara yang dipaksa oleh ulama mujtahidin. Imam mujtahid, katanya, adalah ulama berjaya dalam bidang ilmu yang mereka terokai iaitu dengan kaedah berijtihad, pentafsiran daripada nas dan istinbat hukum daripada kedua-dua sumber terbabit.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Usah kamu taqlid padaku dan jangan kamu taqlid pada Malik dan bukan juga pada al-Auzai, an-Nakhai dan lain lagi. Ambillah hukum dari sumber mereka ambil.”

Katanya, apa yang dilakukan oleh pengikut mereka ini ialah taqlid (ikut) dengan berpandukan kepada metodologi hukum diketengahkan oleh imam atau guru mereka iaitu dengan cara mengemukakan nas yang terdapat di dalam al-Quran, sunnah dan analisis hujah.

Dalam Islam jika kita selusuri ada berbilang mazhab, cuma yang dominan bagi masyarakat Islam di rantau ini, bahkan di seluruh dunia kini membabitkan mazhab yang empat, iaitu Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Bahkan, dalam penyebaran mazhab, ada antara mazhab itu berkembang dengan pesat dan sebaliknya ada mazhab yang tidak mampu bertahan lama untuk diterima oleh masyarakat Islam seperti yang berlaku pada mazhab al-Laith dan al-Awzai yang pada mulanya berkembang di Syria dan Sepanyol, tetapi kemudiannya didominasi oleh mazhab Imam Malik.

Pada zaman ini timbul ulama yang mengkaji dan mengarang ilmu fekah. Mereka menyusun kitab fekah berdasarkan aliran mazhab yang mereka anuti. Mereka hanya menghuraikan apa yang sudah dijelaskan oleh imam mereka.

Selain itu, bagi sesetengah isu atau masalah tertentu, mereka juga ada mengeluarkan pendapat atau fatwa baru yang berbeza dengan pendapat imam mereka.

Di sini juga timbul unsur fanatik atau taksub terhadap mazhab dengan setiap puak akan mempertahankan kebenaran mazhab masing-masing dan secara dasarnya, apa yang sudah dijelaskan oleh imam mazhab adalah benar.

Tokoh dalam mazhab ini akan melakukan tarjih pada masalah khilafiah dan mereka menyusun kitab mengenainya dengan menjelaskan tempat berlaku khilaf atau perselisihan pendapat. Lahirlah kita yang menghuraikan dan membesarkan bidang perbahasan ilmu fikah mazhab yang mereka dukung.

Oleh sebab kesungguhan tokoh mazhab ini, mereka dikenali sebagai mujtahid fi mazhab. Ini kerana mereka sudah berusaha menghuraikan semula masalah yang ada ketikanya bercanggah dengan berpandukan kepada kaedah yang sudah diasaskan oleh imam mazhab. Ada ketika pendapat baru yang mereka keluarkan tidak dihubungkan dengan pendapat imam mazhab.

Menurut Abdul Monir, fanatik mazhab boleh menghapuskan unsur tasamuh atau tolak ansur dalam penghayatan sesuatu hukum dalam mazhab. “Ini boleh mendatangkan pertentangan dan perpecahan pendapat yang boleh melemahkan perpaduan umat Islam,” katanya.

TAJUK: Perundangan Islam: Era Kemajuan Fiqh dan Kelahiran Mazhab
PENULIS: Datuk Abdul Monir Yaacob
PENERBIT: MPH Group Publishing Sdn Bhd (dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia)

13 Desember 2008

Ahli Al-sunnah Wal Jamaah?

Pengertian Sunnah ialah Sunnah Rasulullah s.a.w., pengertian Jemaah ialah kumpulan Sahabat dan Tabien yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Mazhab-mazhab Fekah ialah aliran hukum Syarak yang sah didasarkan di atas tafsiran tertentu terhadap nas-nas Syarak oleh ulama Mujtahidin mengikut kaedah Istinbat yang muktabar.

Majlis tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. Di dalam Mazhab mana pun yang jelas dan nyata pendapat mereka itu dari kitab Allah atau Sunnah Rasulnya atau Jemaah Sahabat Rasulullah s.a.w. maka Majlis sedia menerima dan beramal dengannya. Adapun Mazhab-mazhab ssperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali pada pandangan rasmi Majlis adalah terhitung di dalam Mazhab-mazhab yang muktabar yang tergolong di dalam istilah Ahli Sunnah Wal Jemaah. Majlis Agama Islam Perlis memang berpandukan kepada Mazhab itu dan mengambil pendapat-pendapat mereka yang ada alasan daripada Al-Quran, As-Sunnah dan Jemaah Sahabat Rasulullah s.a.w. Pengertian ini berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah

DALIL-DALIL DARIPADA AL-QURAN:-
1. Firman Allah S.W.T. dalam Surah at-Taubah ayat 100:
Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

2. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah al-An’am ayat 153:
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai beraikah kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.

DALIL-DALIL DARIPADA AL-HADIS
1. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Dari Sariah ( ) r.a. berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: Aku berwasiat kepada kamu dengan takutkan Allah Taala dan mendengar ajaran dan bertaat akan pemerintah walaupun hamba Habsyi, maka sesungguhnya mereka yang panjang umurnya hidup ia hingga kemudian daripada aku, tentu lihat ia akan bersalah-salahan yang banyak, ketika itu lazimlah kamu berpegang sunah aku dan sunah segala Khalifah-khalifah yang menunjuk mereka itu akan jalan yang sebenar, perpeganglah kamu dengannya dan gigitlah kamu akan dia dengan geraham kamu, maknanya berpegang teguh dan jauhkan kamu dari perkara-perkara yang dibaharukan (yang bukan daripada sunah nabi), maka bahawasanya tiap-tiap yang bukan sunah nabi itu bid’ah dan tiap-tiap bid’ah itu sesat dan tiap-tiap sesaat itu di dalam neraka. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

2. Sabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Dari Ibnu Mas’ud r.a. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik manusia ialah kurunku (Zaman Nabi) kemudian zaman mereka yang datang sesudahnya (zaman Sahabat) kemudian zaman mereka yang sesudahnya (zaman Tabien) dan sesudah itu datanglah zaman orang yang suka memperlambangkan kebohongan dan janganlah kamu bergantung kepada perkataan dan perbuatan mereka. (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Dalam menimbang untuk mengeluarkan sesuatu fatwa,
Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis berpandukan Fatwanya itu atas dasar-dasar yang di bawah ini mengikut keutamaan seperti berikut:
1. Al-Quran al-Karim.
2. Hadis Sahih.
3. Ijma’Sahabat.
4. Fatwa Sahabat yang lebih hampir kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
5. Hadis Mursal dan Daif.
6. Qiyas ketika darurat.
7. Mashalih al-Mursalah.
8. Saddu Zarai’.
9. Istihsan dan Istishab.
10. U’ruf.
11. Qawaid Fiqhiah.

07 Desember 2008

AIDIL ADHA

Selamat Menyambut Aidil Adha.. Semoga dengan kehadiran hari raya haji atau hari raya korban dapat meningkatkan pengorbanan kita kepada Allah swt dan agama nya serta dapat menyatupadukan umat Islam seluruh dunia. - Us. Wan

Hari raya Aidul Adha juga dikenali dengan Hari Raya Haji kerana diperintahkan juga di dalam bulan itu umat Islam yang mampu untuk menunaikan Haji ke Baitullahil Haram. Haji pada segi bahasa bererti menuju sesuatu tempat suci. Dari segi istilah syara', Haji bererti berziarah ke Masjidil Haram (Kaabah), melakukan wukuf di Arafah dan sa'I antara Bukit Safa dan Marwa dengan cara tertentu dalam waktu dan niat yang tertentu.

Berkumpulnya kaum muslimin dari berbagai bangsa dan bahasa, yang berlainan rupa dan kulit di suatu tempat (Makkah) menjadi gambaran berkumpulnya manusia di Padang Makhsyar di akhirat kelak untuk menerima hisab bagi setiap amalan yang dilakukan di dunia.

Hari raya Aidul Adha juga disebut Hari Raya Qurban kerana ianya mengingatkan kita kepada peristiwa perintah qurban Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail di dalam menunaikan perintah Allah s.w.t dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s menjalani perintah Allah s.w.t yang disebutkan di dalam surah As Saffat, ayat 102 - 103:

"Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : "Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu." Ia menjawab : Hai ayahku ! kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, Insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."

Di dalam melaksanakan perintah itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyerahkan diri mereka sepenuhnya di dalam melaksanakan perintah Allah sehingga dengan kurnia Allah yang Maha Penyayang, Allah telah menghantarkan seekor kibasy untuk menggantikan Nabi Allah Ismail yang juga disebutkan di dalam Surah As Saffat, ayat 106 - 107:

"Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar."

Di dalam surah Al Kauthar, ayat 2 Allah telah berfirman:
"Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhammu dan sembelihlah (qurban)."

Di dalam mentafsirkan ayat tersebut, Al Bajuri berkata : " Bersembahyanglah engkau itu adalah sembahyang Aid, dan sembelihlah Udhiyah (kurban), membina diatas semasyhur-masyhur qaul (pendapat) bahawa yang dimaksudkan dengan sembahyang adalah sembahyang Aid dan dengan Nahar adalah menyembelih Udhiyah." Iaitu lebih dikenali dengan nama Aidul Adha.

06 Desember 2008

Ibadah Qurban

ULAMA ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia. Kaedah yang dimaksudkan adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba') sunnah Nabi SAW.

Firman Allah SWT: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun. (al-Mulk: 2).

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah- sunnah Nabi seperti berikut:

Waktu Penyembelihan
Penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW: "Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan". (riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no: 16151).

Haiwan korban
Sabda Rasulullah SAW: "Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)". (riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 2420).

Tidak menggunting rambut dan memotong kuku
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Nabi SAW: Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1977).

Menurut Imam al-Nawawi r.a: "Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain". (Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Dinukil dari kitab Ahkaam al-'Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh 'Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98).

Bagi mereka yang sengaja atau tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian
Jabir r.a berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk tujuh orang dan menyembelih lembu untuk tujuh orang bersama-bersama Rasulullah SAW. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1318).

Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya
Atha' bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah lalu Abu Ayyub menjawab: "Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain". (riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 1425).

Dilaksanakan di musolla
Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a, dia berkata: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat hari raya. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956).

Sunnah menyembelih sendiri
Anas r.a berkata: Nabi pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah
Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca Bismillahir Rahmanir Rahim.

Anas r.a berkata: Nabi SAW pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan
Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan menyedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi SAW: Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (riwayat al-Muslim di dalam Sahihnya, no: 1971).

Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban
Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata: Nabi SAW pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1317).

27 November 2008

Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara Dipertikai

Arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan melalui surat oleh YB Elizabeth Wong, Pengerusi Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekita yang bertarikh 15hb September 2008 dan surat peringatan kedua beliau bertarikh 29hb September 2008 kepada Dato` Mohd Roslan, Datuk Bandar MBPJ dengan mengarahkan supaya pihak MBPJ memulangkan kembali tanah seluas 85 ekar itu kepada pihak kerajaan negeri untuk dijadikan tanah rezab dan taman botani. Manakala tanah untuk perkuburan Islam diberi hanya 22 ekar berbanding kelulusan sebelum nya pada tahun 2007 sebanyak 50 ekar.

Ekoran daripada itu, telah menimbulkan kemarahan dan bantahan banyak pihak termasuk pihak masjid dan surau serta penduduk Islam sekitar. Tanah Perkuburan Islam itu menjadi keperluan kepada penduduk Islam bagi kawasan Kota Damansara dan daerah Petaling serta kawasan berhampiran kerana tanah perkuburan Islam yang ada telah digunakan hampir penuh.

Pembetulan Oleh Exco Alam Sekitar
Setelah menerima banyak bantahan, Elizabeth Wong yang juga selaku ADUN Bukit Lanjan sekali lagi telah menghantar surat kepada pihak MBPJ yang bertarikh 10 November 2008 memaklumkan terdapat kesilapan dalam kedua-dua surat beliau yang dihantar pada sebelum itu dan membuat pembetulan 22 ekar kepada 22 hektar.

Ramai yang menganggap bahawa "pembetulan atau ralat" itu hanya alasan untuk menutup agenda beliau yang telah terbongkar.

Walau bagaimana pun pihak Jawatankuasa Kubur Kota Damansara serta masjid dan surau kawasan sekitar akan terus mempertahankan tanah perkuburan Islam itu dan akan menuntut beberapa ekar tambahan seperti yang dimaklumkan kerana 22 hektar mempunyai keluasan melebihi 50 ekar yang diluluskan pada asalnya.

Cadangan Salur ZAKAT Untuk Orang Kafir

SHAH ALAM 21 Okt. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim (gambar) hari ini mencadangkan kerajaan negeri supaya menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor.

Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengemukakan cadangan tersebut ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, cadangan tersebut sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan : HARAM YOGA

Utusan 23 Nov. - SELEPAS pengharaman pengkid, Sabtu lalu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pula satu keputusan yang mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga.

Keputusan mengharamkan umat Islam daripada mengamalkan yoga itu kerana dibimbangi akan menghakis akidah jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi. Kita juga perlu sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga yang bertauliah terdiri daripada bukan Islam.

Daripada gerakan fizikal, melalui bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan alam atau Tuhan, ia sudah cukup membuktikan amalan senaman yoga sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Walaupun senaman yoga dikatakan amalan penjagaan kesihatan yang terbaik tetapi ia tidak sesuai untuk umat Islam kerana perbuatannya boleh merosakkan akidah kerana dalam Islam terdapat tiga elemen yang boleh menjejaskan akidah iaitu keyakinan hati, pengakuan dengan lidah dan perbuatan.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya bertujuan untuk menjaga kepentingan dan akidah umat Islam.

25 November 2008

لا إله إلا الله

TUNTUTAN KALIMAH TAUHID (LA ILAHA ILLALLAH)

Sabda Rasulullah s.a.w:إن الله تعالى قد حرم على النار من قال: "لا إله إلا الله"، يبتغي بذلك وجه الله
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Ta‘ala mengharamkan neraka kepada sesiapa yang menyebut: “Tiada tuhan melainkan Allah” dengan tujuan meraih keredhaan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Itban bin Malik, dinilai Sahih)

Penerangan Hadis:
Pengertian kalimah Lailahaillallah yang luas ini mencakupi segala tuntutan kehidupan dan ia juga merangkumi segenap aspek. Berikut digariskan rumusan ringkas pelbagai tuntutan dalam hidup seorang muslim yang berhubung rapat dengan kalimah ini, sepertimana yang dinyatakan oleh Muhammad Qutb:

1) Tuntutan Keimanan.
Ia menyentuh perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang bermaksudnya: Inilah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kepada kamu agama kamu. Berkata Jibril: Apakah iman? Rasulullah bersabda: Bahawa kamu beriman dengan Allah, malaikatnya, kitab-kitabnya, Rasul-Rasulnya, hari akhirat dan takdir yang baik dan buruk. (Akhrajahu Ahmad)

Keimanan terhadap setiap elemen yang terkandung di dalam hadis ini mempunyai peranan dalam memenuhi tuntutan Lailahaillallah.

2) Tuntutan Ubudiyah
Setelah terbukti tiada Tuhan layak yang disembah melainkan Allah, maka memang wajarlah segala bentuk pengabdian hanya ditujukan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla dan ia merupakan perkara yang tabie dan boleh diterima akal.

Aqidah yang terpesong akan turut melibatkan ibadat juga turut terpesong Apabila aqidah terpasak kukuh maka sudah semestinya bentuk ibadat yang dilakukan menjadi sejajar dan seirama dengan tuntutan syara’.

Di dalam minhaj Rabbani setiap ibadat adalah untuk memenuhi tuntutan dunia dan akhirat, sama ada dengan syiar ibadat yang khusus ataupun aktiviti hidup yang rutin. Di dalam Islam tiada ibadat semata-mata untuk memenuhi tuntutan akhirat, sepertimana yang disangkakan oleh sebahagian manusia. Agama ini diturunkan untuk mengislah kehidupan manusia dan segenap bidang lain yang amat luas.

3) Tuntutan Perundangan
“La ilaha illah” bukan semata-mata aqidah bahkan ia bersangkut-paut dengan semua risalah samawi yang lain dalam mengatur dan menjamin kesempurnaan hidup.

Permasalahan tashyrie’ (perundangan) adalah masalah yang berhubung secara langsung dengan soal Uluhiyyah. Perkara ini berlandaskan kepada dua sebab:

Soal perundangan adalah hak Allah semata-mata kerana Dia-lah yang Maha Pencipta.

Sifat Allah yang Maha Pencipta (Al-Khaliq) , Maha Halus (Al-Latif), Maha Mengenal (Al-Khabir), Maha Bijaksana (Al-Hakim) dan Maha Mengetahui (Al-A`lim).

4) Tuntutan Akhlak
Akhlak mempunyai kaitan dengan aqidah kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Empat perkara jika ada pada seseorang, ia adalah munafiq. Sesiapa yang ada satu perkara darinya, maka bererti terdapat padanya satu unsur nifaq sehinggalah ia meninggalkannya: Apabila ia bercakap ia berdusta, apabila diamanahkan ia mengkhianati, apabila berjanji ia menyalahi, apabila bertelingkah ia berbecah-belah. (Dikeluarkan Oleh Muslim)

Nifaq juga adalah suatu masalah yang bersangkutan dengan aqidah. Penipuan, pengkhianatan, mungkir janji, berpecah-belah setelah berlaku pertelingkahan adalah permasalahan akhlak...(Rasulullah SAW menjelaskan bahawa berlakunya kepincangan pada masalah akhlak. membabitkan soal nifaq. Berlakunya nifaq bererti mencabul perjanjian dengan Allah di bawah kalimah La ilaha illallah).

Apabila kita merenung wasiat Luqman tentang, bagaimanakah seorang itu boleh berbakti (mensyukuri) kepada ibu dan bapanya, tidak dapat tidak ia perlu kembali kepada kepada perjanjian yang pernah termeterai dengan Allah ‘Azza Wa Jalla iaitu untuk “dengar” dan “taat” kepada-Nya, selepas itu barulah terbentuknya setiap hubungan yang ditautkan dengan akhlak....

5) Tuntutan Pemikiran
Individu muslim mempunyai keunikan gagasan minda yang tersendiri dalam membuat penilaian dan ukuran yang terpancar dari Al-Quran dan As-Sunnah. Seorang itu telah mempertuhankan akalnya apabila ia lebih mengutamakannya dalam membuat pertimbangan tersebut. Sedangkan penggantungan pada akal secara mutlak bercanggah dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Cakupan minda muslim tidak terbatas pada perkara maddiy (zahir) sahaja, bahkan menjangkau jauh pada perkara ma’nawi. Ia menggarap segala yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat. Perkara ini memberi kesan dalam hubungan antara individu. Hubungannya tidak terjalin di atas landasan kebendaan semata-mata tetapi lebih meluas mencakupi perkara “maknawi”.

Sikap terbuka dan rasional adalah suatu tuntutan, tetapi hendaklah dalam ruang lingkup izzah (kemuliaan) yang didasarkan atas prinsip keimanan dan keistimewaan yang dibina oleh prinsip Islam pada pemikiran mukmin.

Perkara yang diperlukan oleh manusia ialah ilmu yang mencerminkan keimanan dan dunia yang berasaskan iman. Inilah prinsip Islam yang terkandung di sini dan sebagai tuntutan Pemikiran bagi kalimah Lailahaillallah.

6) Tuntutan Membina Tamaddun Dan Peradaban
Banyak ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang perkara ini, antaranya ialah Firman Allah swt yang bermaksud " Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya). (Al-Mulk: 15)

Disebut dalam ayat di atas “dibangkitkan hidup semula” iaitu perkara yang berhubung dengan hisab dan pembalasan di hari akhirat, manakala ayat: “maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah rezeki yang dikurniakan Allah” adalah suatu peringatan bahawa perlunya iltizam dengan minhaj Rabbani; iaitu akur dengan garis sempadan halal dan haram, harus dan tidak harus, yang membawa erti iltizam dengan segala apa jua yang datang dari Allah. Inilah dia tuntutan Lailahaillallah.

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla yang bermaksud “Dan tuntutlah dengan harga kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”. (Al-Qasas: 77)

Sentiasa mengingati akhirat dalam operasi mengeksploitasi segala khazanah alam, merekacipta, memper indahkan alam buana disamping iltizam dengan segala prinsip agama yang menjamin keselamatan insan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah sahaja yang dapat merealisasikan matlamat hidup manusia dan membentuk tamaddun yang sebenar. Pem bangunan adalah suatu perkara yang dituntut dan suatu kemestian, tetapi ia hendaklah dibina di atas minhaj Rabbani.

7) Tuntutan Seni Penyampaian (Penyair, Penyajak Dan Lain-lain).قل وروح القدس معك
Maksudnya: Ungkapkanlah! (Wahai Hassan ibn Thabit) Ruhul Quds (Jibril) ada bersama kamu (membantumu).

Demikianlah arahan Rasulullah SAW kepada Hassan ibn Thabit RA ketikamana beliau mengungkap syairnya. Jelas di sini bahawa Rasulullah telah menggalakkan bahkan mendesak Hassan ibn Thabit meneruskan bacaan syairnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa ia merupakan suatu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Adalah menjadi suatu kewajipan kepada siapa yang berbakat dalam bidang seni penyampaian agar menggunakan kesempatan ini untuk berdakwah melalui keseniannya yang unik tersebut. Namun ia hanya fardhu kifayah. Apabila ia telah dilaksanakan oleh sebahagian manusia maka gugurlah kefardhuannya ke atas sebahagian yang lain. Justeru itu kepada mereka yang lain, yang memiliki bakat tersendiri, perlulah menumpukan perhatiannya kepada matlamat dan objektif seninya sendiri.

Adalah menjadi fardhu ain kepada mereka yang memiliki bakat yang tersendiri dalam bidang penyampaian dan pengungkapan, supaya iltizam dalam aktivitinya mengikut landasan tatasusila Islam. Inilah tuntutan seniman bagi kalimah La ilaha illallah.

Seniman di zaman jahiliyyah melaungkan slogan “Seni untuk seni”. Seniman muslim mengangkat kemuliaan manusia kepada kemuliaan yang selayaknya dengan martabat insan itu sendiri. Pada hari ini para seniman tidak lagi menerima slogan tersebut, tetapi mereka cuba melaungkan slogan “Seni untuk kehidupan”. Tetapi kehidupan bagaimanakah yang dimaksudkan oleh mereka. Siapakah yang meletakkan ukuran dan menentukan prinsip pada kehidupan?

Matlamat hakiki bagi ‘Seniman Islam’ ialah ubudiyyah kepada Allah dengan ertikata yang luas, mencakupi peranan menta`mir muka bumi dengan minhaj rabbaniy.

Secara umum media merupakan salah satu medan meluahkan bakat kesenian yang mempunyai matlamat yang pelbagai, manakala media Islam mempunyai misi yang tersendiri. Media Islam bukan keseluruhannya semata-mata nasihat dan pengajian agama, tetapi ia adalah salah satu juzuk yang tidak terpisah dari berperanan untuk mengingatkan kita kepada Allah dan hari akhirat.

Tujuan utama media Islam secara ringkas ialah:
• Memperkenalkan hakikat agama.
• Mendedahkan perancangan musuh Islam.
• Mengemukakan pandangan Islam terhadap isu-isu semasa.
• Mengingatkan manusia tentang misi kehidupan mereka yang sebenar.

Tiga tuntutan pertama iaitulah tuntutan iman, tuntutan ibadat dan tuntutan tasyrie’; jika ia tidak wujud dalam diri seseorang maka ternafilah imannya. Tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut atau salah satu darinya, boleh membawa kepada syirik, sama ada: Syirik i’tiqad, syirik ibadat dan syirik tasyrie’. Ketiga-tiganya adalah syirik besar yang tidak diampunkan Tuhan, melainkan dengan kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya.

Adapun tuntutan-tuntutan yang lain, kecuaian dalam melaksanakan tuntutan tersebut atau langsung tidak melaksanakannya tidak membatalkan iman, tetapi menjadikan iman seseorang itu tidak sempurna dan ia adalah berdosa.

(Ringkasan dari La ilaha illallah Aqidah Syariah Wa Minhaj Hayah: Muhammad Qutb: ms 43-119)

Memandangkan kepentingan tuntutan kalimah ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Perbanyakkanlkanlah menyebut kalimah La ilaha illah.”

Kata al-Munawi: Melazimi menyebut kalimah ini secara berterusan boleh memperbaharui iman di hati, di samping memenuhkannya dengan cahaya dan menambahkan keyakinan, serta mendedahkan kepada pelbagai perkara tersirat yang tidak dapat diketahui melainkan golongan bijaksana. Tiada siapa yang menafikan perkara tersebut melainkan mulhid yang derhaka. (Faidhul Qadir).