15 Desember 2008

Hidup bermazhab amal tasamuh

DALAM mengerjakan tuntutan agama dan menghukum sesuatu ibadat itu sah atau batal, kita selalunya berpandukan kepada sesuatu mazhab sehinggakan bermazhab menjadi suatu kewajipan.

Apabila bermazhab ada golongan mengambil sikap selesa dengan tidak cuba menganalisis kes baru yang dikatakan kompleks sedangkan mereka mempunyai kemampuan mengemukakan justifikasinya.

Malah, sesetengahnya begitu fanatik kepada mazhab diikutinya sehingga memandang sebelah mata kepada mazhab selainnya seolah-olah puaknya saja yang sempurna.

Begitupun, menurut Datuk Abdul Monir Yaacob, dalam bukunya Perundangan Islam: Era Kemajuan Fiqh dan Kelahiran Mazhab, pembentukan mazhab fekah bukan sesuatu yang dinaskan dalam syariat Islam dan bukan juga satu perkara yang dipaksa oleh ulama mujtahidin. Imam mujtahid, katanya, adalah ulama berjaya dalam bidang ilmu yang mereka terokai iaitu dengan kaedah berijtihad, pentafsiran daripada nas dan istinbat hukum daripada kedua-dua sumber terbabit.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Usah kamu taqlid padaku dan jangan kamu taqlid pada Malik dan bukan juga pada al-Auzai, an-Nakhai dan lain lagi. Ambillah hukum dari sumber mereka ambil.”

Katanya, apa yang dilakukan oleh pengikut mereka ini ialah taqlid (ikut) dengan berpandukan kepada metodologi hukum diketengahkan oleh imam atau guru mereka iaitu dengan cara mengemukakan nas yang terdapat di dalam al-Quran, sunnah dan analisis hujah.

Dalam Islam jika kita selusuri ada berbilang mazhab, cuma yang dominan bagi masyarakat Islam di rantau ini, bahkan di seluruh dunia kini membabitkan mazhab yang empat, iaitu Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi. Bahkan, dalam penyebaran mazhab, ada antara mazhab itu berkembang dengan pesat dan sebaliknya ada mazhab yang tidak mampu bertahan lama untuk diterima oleh masyarakat Islam seperti yang berlaku pada mazhab al-Laith dan al-Awzai yang pada mulanya berkembang di Syria dan Sepanyol, tetapi kemudiannya didominasi oleh mazhab Imam Malik.

Pada zaman ini timbul ulama yang mengkaji dan mengarang ilmu fekah. Mereka menyusun kitab fekah berdasarkan aliran mazhab yang mereka anuti. Mereka hanya menghuraikan apa yang sudah dijelaskan oleh imam mereka.

Selain itu, bagi sesetengah isu atau masalah tertentu, mereka juga ada mengeluarkan pendapat atau fatwa baru yang berbeza dengan pendapat imam mereka.

Di sini juga timbul unsur fanatik atau taksub terhadap mazhab dengan setiap puak akan mempertahankan kebenaran mazhab masing-masing dan secara dasarnya, apa yang sudah dijelaskan oleh imam mazhab adalah benar.

Tokoh dalam mazhab ini akan melakukan tarjih pada masalah khilafiah dan mereka menyusun kitab mengenainya dengan menjelaskan tempat berlaku khilaf atau perselisihan pendapat. Lahirlah kita yang menghuraikan dan membesarkan bidang perbahasan ilmu fikah mazhab yang mereka dukung.

Oleh sebab kesungguhan tokoh mazhab ini, mereka dikenali sebagai mujtahid fi mazhab. Ini kerana mereka sudah berusaha menghuraikan semula masalah yang ada ketikanya bercanggah dengan berpandukan kepada kaedah yang sudah diasaskan oleh imam mazhab. Ada ketika pendapat baru yang mereka keluarkan tidak dihubungkan dengan pendapat imam mazhab.

Menurut Abdul Monir, fanatik mazhab boleh menghapuskan unsur tasamuh atau tolak ansur dalam penghayatan sesuatu hukum dalam mazhab. “Ini boleh mendatangkan pertentangan dan perpecahan pendapat yang boleh melemahkan perpaduan umat Islam,” katanya.

TAJUK: Perundangan Islam: Era Kemajuan Fiqh dan Kelahiran Mazhab
PENULIS: Datuk Abdul Monir Yaacob
PENERBIT: MPH Group Publishing Sdn Bhd (dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia)

Tidak ada komentar: