26 Oktober 2009

Fitnah dan Perjuangan


Siapa tidak kenal Prof. Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fikah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini. Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal dunia. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh. Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencanakan ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang. Demikian Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservatif Tanah Melayu dengan tuduhan kaum muda dan Wahabi. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Tuduhan

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur‘ah. Tuduhan ini datang daripada gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat.” Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaan menuju ke sana, beliau meninggal dunia sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang.

-Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
bekas Mufti Perlis.

18 Oktober 2009

BLOGGERS TERTUA DUNIA

Amelia Lopez, 97 tahun dari sepanyol.. dia menceburi dunia ini selepas dihadiahkan sebuah laman blog http://amis95.blogspot.com oleh cucu nya sempena hari jadi nya..

13 Oktober 2009

Masjid Sheikh Zayed tercantik dan terbesar di dunia


MELINTASI dua jambatan utama Mussafah dan Maqta di ibu kota Emeriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi, susuk bangunan putih yang tersergam indah, pasti mencuri tumpuan setiap yang melintasi jalan sibuk tersebut.

Apa tidaknya, bangunan yang berdiri gah itu ialah Masjid Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan. Masjid indah yang mengambil sempena nama pengasas dan presiden pertama UAE, telah dibuka secara rasmi pada bulan Ramadan 2007. Ia juga dipanggil Masjid Agung oleh penduduk tempatan situ.

Menurut pemandu yang membawa kumpulan media massa dari Malaysia, Indonesia dan Filipina, Masjid Sheikh Zayed bukan sahaja tersenarai antara masjid tercantik di dunia tetapi kedudukannya adalah dalam tangga lima teratas sebagai masjid terbesar di dunia.

Ujarnya lagi, lawatan ke Abu Dhabi tidak akan bermakna dan tidak sempurna sekiranya tidak melawat ke masjid ini. Penulis mengakui ada logiknya juga saranan beliau itu, ini kerana dalam jadual lawatan, lokasi ini adalah senarai teratas tempat-tempat menarik di Abu Dhabi yang mesti dibuat liputan.

Apa pun gelaran dan pencapaiannya, waima landskapnya yang belum siap sepenuhnya, namun senario di bahagian dalam masjid, memang jauh berbeza. Aspek keunikan seni bina dan reka bentuk yang ditonjolkan, gerenti membuat setiap pengunjung hilang kata-kata.

Malah terik mentari di luar yang hampir mencecah 48 darjah Celsius, sedikitpun tidak menjejaskan tumpuan penulis berserta lima lagi wartawan yang hanya terkedu kaku, sambil mata meliar dan tidak mahu ketinggalan merakamkan sudut-sudut menarik di dalam masjid.

Kunjungan rombongan media massa dari Asia Tenggara ini adalah atas undangan syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh Malaysia, AirAsia X, sempena pengumuman destinasi baru mereka iaitu ke Abu Dhabi, sebagai laluan pertama Air Asia ke Timur Tengah bermula November ini.

Ketibaan rombongan kami disambut wanita manis berjubah hitam dari Lembaga Pelancongan Abu Dhabi (ADTA) yang hanya ingin dikenali sebagai Fatimah. Menurut beliau, reka bentuk Masjid Sheikh Zayed adalah ilham seni bina masjid Mughal dan Moor (Moorish). Ia juga jelas dipengaruhi dari Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan dan Masjid Hassan II di Casablanca di Maghribi.

"Reka letak kubah dan pelan lantai masjid ini adalah inspirasi dari Masjid Badshahi dan seni binanya pula adalah hasil ilham reka bentuk daripada Mughal dan Moor, terutamanya Masjid Badshahi dan Masjid Hassan II.

"Pintu gerbangnya pula adalah contoh unggul pengaruh Moor dan menara (minaret) adalah daripada pengaruh Arab. Oleh itu, reka bentuk masjid ini paling tepat digambarkan sebagai gabungan seni bina Arab, Mughal dan Moor," terang Fatimah mesra.

Tambahnya, ADTA telah mengumumkan pembukaan masjid tersebut kepada para pelancong Islam dan bukan Islam bermula pertengahan Mac 2008 dengan harapan untuk mempromosikan kebudayaan dan pemahaman terhadap agama Islam.

"Masjid Sheikh Zayed dilihat sebagai sebuah mercu tanda tersohor, kerana membawa sentuhan pelbagai kepakaran, rekaan, bahan binaan dari seluruh dunia seperti; Itali, Jerman, Maghribi, India, Turki, Iran, China, Greece dan tidak ketinggalan dari rantau Asia Barat sendiri.

"Reka bentuk seni bina masjid ini pada peringkat awalnya diilhamkan oleh arkitek berbangsa Maghribi. Pun begitu, sepanjang perkembangan pembinaannya terselit ciri-ciri global termasuk pada bahagian dinding luar yang menampilkan reka bentuk tradisional Turki. Malah penggunaan bahan-bahan semula menjadi pilihan iaitu; batu marmar, emas, batu permata, kristal dan seramik.

"Uniknya juga, masjid ini mempunyai sebanyak 57 kubah meliputi bahagian laman luar dan bangunan utama. Kubah-kubah yang dihias indah dengan batu marmar putih berukiran. Bahagian laman dalamnya pula diturap dengan mozek dan marmar berwarna-warni dengan motif bunga-bungaan terbentang seluas 17,000 meter persegi.

"Berbalik kepada kubah utama masjid ini, ia berukuran garis pusat 32.7 meter dan 70 meter tinggi dari dalam dan 85 meter dari luar," kata Fatimah yang sekaligus membolehkan ia diisytiharkan sebagai sebagai kubah yang terbesar di dunia.

Di masjid ini juga terdapat sebanyak 1,096 tiang pada bahagian luar masjid dan 96 tiang di ruang solat utama yang menggunakan ukiran buatan tangan pada panel-panel batu marmar yang diselaputi dengan batu permata termasuk lapis lazuli, batu akik merah, batu kecubung dan mutiara. Di samping itu, empat menara (minaret) setinggi 115 meter didirikan pada setiap penjuru masjid.

Tasik buatan seluas 7,874 meter persegi dengan kemasan lantai jubin berwarna gelap, kemas mengelilingi masjid. Kolam ini secara tidak langsung, memantulkan bayang-bayang indah masjid, lebih-lebih pada waktu malam. Masjid ini memukau dengan kilauan cahayanya yang terang benderang.

Bercerita tentang masjid, tidak lengkap sekiranya tidak disentuh tentang ruang solat utama. Masjid Zayed mempunyai ruang solat utama yang bukan sahaja luas tetapi menekankan ciri-ciri kemewahan.

Apa tidaknya, hiasan dalamannya sahaja diperindahkan dengan penggunaan marmar putih bertatah reka bentuk motif bunga-bungaan yang menghiasi ruangan dewan solat.

Manakala dinding dalam masjid, dihiasi dengan dekorasi 24 karat emas daripada kaca mozek. Ruang utama solat ini juga mengetengahkan permaidani Parsi buatan tangan yang terbesar di dunia.

Seperkara lagi yang menakjubkan tentang Masjid Sheikh Zayed ialah berkenaan dengan tujuh buah lampu candelier yang dihiasi dengan saduran 24 karat emas yang diimport dari Jerman serta direka dengan kilauan kristal swarovski.

"Candelier paling besar yang digantungkan pada kubah utama masjid dikatakan sebagai paling besar di dunia dengan ukuran garis pusat 10 meter, 15 meter tinggi dan berat antara lapan hingga sembilan tan.

"Manakala dinding kiblat yang berukuran 23 meter tinggi dan 50 meter lebar, menggunakan dekorasi yang agak sederhana, supaya tidak mengganggu konsentrasi serta kekhusyukan ketika solat.

"Bagaimanapun, penggunaan 99 nama Allah pada dinding kiblat dengan kaligrafi kufi tampak menarik dengan iluminasi menggunakan pencahayaan fiber optik. 24 karat emas, daun emas dan mozek kaca emas turut digunakan di bahagian mihrab," kata Fatimah.

Kami turut terpegun berada di ruang solat utama ini terutamanya sebaik melihat 80 panel Iznik yang dihiasi dengan jubin seramik yang popular pada kurun ke-16, mengetengahkan ciri-ciri utama empayar kerajaan Istanbul dan bangunan-bangunan agama.

Kami difahamkan bahawa ia adalah seni ukiran asli, setiap jubin telah direka bentuk oleh pakar kaligrafi berbangsa Turki bernama, Othman Agha. Tiga jenis kaligrafi tulisan kufi, Nasakh dan Tuluth digunakan pada setiap sudut masjid dan diukir oleh Mohammed Mendi (UAE), Farouk Haddad (Syria) dan Mohammed Allam (Jordan).

Masjid Sheikh Zayed dikatakan mampu menampung lebih 40,000 jemaah, merangkumi dewan solat utama dan laman dalam. Pada dewan solat utamanya sahaja boleh menempatkan lebih 9,000 jemaah pada satu-satu masa.

Dua buah bilik yang terletak bersebelahan dengan ruang solat utama itu pula, masing-masing boleh menampung seramai 1,500 orang dan ia dikhaskan untuk kaum wanita.

Sungguhpun Masjid Sheikh Zayed ini telah dibuka kepada umum, namun persekitarannya masih dalam pembinaan. Dimaklumkan, apabila siap sepenuhnya, masjid ini akan dikelilingi dengan pancuran air dan taman-taman hijau.

07 Oktober 2009

Aidil Fitri


Selamat Menyambut Aidil Fitri Buat Semua Muslimin dan Muslimat..

Kullu Am Wa Antum Bi Khair..

Maaf Zahir Batin..

30 Agustus 2009

Kemerdekaan Tanah Air


Malam Merdeka

Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul RahmanSebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman.


[sunting] Upacara Pengisytiharan
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan

Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

ڤماشهورن كمرديكأن

دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مڠاسيهاني، سڬالا ڤوجي باڬي الله يڠ مها بركواس دان صلوات دان سلام ك اتس سكالين رسول-ڽ.

بهاواسڽ كران تله تيباله ماسڽ باڬي اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو اين منچاڤأي تارف سواتو بڠسا يڠ مرديك لاڬي بردولت سام ستيمڤل كدودوكنڽ دڠن سڬالا بڠسا سلوروه دنيا.

دان بهاواسڽ كران دڠن ڤرجنجين يڠ دسبوت نامڽ ڤرجنجين تانه ملايو تاهون 1957 يڠ دڤربوات انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، مك، تله دڤرستوجوي بهاوا نڬري-نڬري ملايو، ايايت جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، دان ڤراق سرتا نڬري يڠ دهولوڽ ديناماكن نڬري سلت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، مولاي 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957، هندقله منجادي سبواه ڤرسكوتوان بهارو باڬي نڬري-نڬري يڠ برنام ڤرسكوتوان تانه ملايو.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق دالم ڤرجنجين ترسبوت، ايايت ملاك دان ڤولاو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ ترسبوت ايت تمت درڤد منجادي سباهاڬين درڤد ججاهن تعلوق بڬيندا قوين، دان دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين تيدق لاڬي برحق منجالنكن اڤا٢ كدولتن بڬيندا ك اتس كدوا-دوا بواه نڬري يڠ ترسبوت ايت.

دان بهاواسڽ كران تله برستوجو ڤولا انتارا كدوا-دوا ڤيهق يڠ ترسبوت، ايايت ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1948، دان سڬالا ڤرانجين يڠ لاين يڠ اد سكارڠ انتارا دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين دڠن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج اتاوڤون ساله سأورڠ درڤد بڬيندا ايت سبلوم تاريخ يڠ ترسبوت هندقله دبطلكن مولاي درڤد تاريخ ايت، دان سموا كوات كواس دان حق دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين اتاوڤون ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دالم نڬري-نڬري سلت اتاوڤون ڤرسكوتوان تانه ملايو سلوروهنڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.

دان بهاواسڽ كران دولي يڠ مها مليا بڬيندا قوين، دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج ملايو، ڤرليمين نڬري اونيتد كيڠدوم دان مجليس-مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان دان نڬري-نڬري ملايو تله ملولوسكنڽ، ڤرجنجين ڤرسكوتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن كوات كواساڽ.

دان بهاواسڽ كران سواتو ڤرلمباڬان باڬي كراجأن ڤرسكوتوان تانه ملايو تله دتنتوكن منجادي سواتو كانون يڠ معتمد باڬيڽ.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت، مك، اد دسدياكن شرط اونتوق منجاڬ كسلامتن حق-حق دان كاوتامأن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج سرتا حق-حق اساسي دان كبيبسن سكالين رعيت دان اونتوق مماجوكن ڤرسكوتوان تانه ملايو دڠن امان دان داماي سرتا تراتور سباڬاي سبواه كراجأن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠ برڤرلمباڬان يڠ برداسركن ديموكراسي چارا ڤرليمين.

دان بهاواسڽ كران ڤرلمباڬان ڤرسكوتوان يڠ داداكن اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان يڠ ترسبوت ايت تله دلولوسكن اوليه سواتو اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكه اوليه مجليس اوندڠن ڤرسكوتوان سرتا دڠن اوندڠ-اوندڠ يڠ داداكن اوليه نڬري-نڬري ملايو دان دڠن كتتڤن-كتتڤن دالم مجليس اوندڠن نڬري ملاك دان ڤولاو ڤينڠ، دڠن دمكين ڤرلمباڬان ايت تله برجالن كوات كواساڽ ڤد 31 هاري بولن اوڬوس تاهون 1957.

مك، دڠن نام الله يڠ مها ڤموره لاڬي مها مڠاسيهاني، ساي تونكو عبدالرحمن ڤوترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شه، ڤردان منتري باڬي ڤرسكوتوان تانه ملايو، دڠن ڤرستوجوان دان ڤركنن دولي-دولي يڠ مها مليا راج-راج نڬري-نڬري ملايو دڠن اين ممشهوركن دان مڠيشتهاركن باڬي ڤيهق اومت ڤرسكوتوان تانه ملايو بهاوا مولاي تيڬ ڤولوه ساتو هاري بولن اوڬوس تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليما ڤولوه توجوه، مك ڤرسكوتوان تانه ملايو يڠ مڠاندوڠي نڬري جوهر، ڤهڠ، نڬري سمبيلن، سلاڠور، قدح، ڤرليس، كلنتن، ترڠڬانو، ڤراق، ملاك دان ڤولاو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وا تاءالا اكن ككال منجادي سبواه نڬارا يڠ مرديك دان بردولت سرتا برداسركن كبيبسن دان كعاديلن دان سنتياس منجاڬ دان مڠوتاماكن كسجهترأن دان كسنتوسان رعيتڽ دان مڠكلكن كامانن انتارا سڬالا بڠسا.

21 Agustus 2009

PUASA RAMADHAN


Pengertian Puasa

Bahasa : Menahan diri atau menahan diri daripada sesuatu.
Istilah : Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan dengan niat bagi orang yang diwajibkan perpuasa bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Kelebihan dan Kemulian Ramadan

*Bulan diturunkan al-Quran
Firman Allah s.w.t :
"Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza." (al-Baqarah: 185)

*Bulan Umat Islam Berpuasa
Firman Allah s.w.t :
"Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan)"
(al-Baqarah: 183)

*Bulan Mempunyai Malam Lailatul Qadar
Firman Allah s.w.t :
"Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan"
(Al-Qadr : 3)

*Bulan Disunatkan Bersolat Sunat Tarawih.
Hadis Diriwayatkan Oleh Jabir bin Abdullah :
"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir.."

*Bulan Penghulu Segala Bulan
Sabda Nabi s.a.w :
"Penghulu segala bulan ialah Ramadhan dan penghulu segala hari ialah Jumaat"
(Riwayat Al-Tabrani)

*Bulan Pintu Syurga Dibuka dan Pintu Neraka Ditutup Serta Syaitan Diikat
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Apabila datang bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan."
(riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

*Bulan Diampunkan Dosa

1. Diampunkan dosa-dosa kecil di antara dua Ramadhan.
Sabda Nabi s.a.w :
"Sembahyang lima waktu dan dari Jumaat ke Jumaat dan dari Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa di antaranya selagi tidak melakukan dosa-dosa besar"
( riwayat Muslim )

2. Diampunkan dosa-dosa yang lalu
Sabda Nabi s.a.w :
"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan muhasabah, diampunkan Allah swt bagi nya dosa-dosa yang lepas"
( riwayat Bukhari dan Muslim )

15 Juli 2009

Facebook

Sekarang ni rasa nak belajar buka facebook pulak.. kawan-kawan ramai yang bertukar selera.. kita pun apa salah nya nak mencuba dan belajar benda baru.. erm kalau masuk facebook.. jangan lupa cari Wan Sobri ya..

14 Juni 2009

BerCINTA dengan Bukan Islam

Soalan 1:
Apakah hukumnya bercinta dengan orang berlainan agama. Adakah haram atau sebaliknya?

Jawapan:
Islam tidak menafikan perasaan cinta kerana ia adalah satu perasaan yang fitrah dalam kehidupan manusia. Hidup seseorang manusia sentiasa diliputi dengan cinta dan kasih sayang.
Islam mengakui adanya rasa cinta yang ada dalam diri manusia. Ketika seseorang memiliki rasa cinta, maka hal itu adalah anugerah Allah SWT: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (ali-'Imran: 14).

Namun, Islam sebagai al-Din memberi panduan lengkap bagi setiap lapangan hidup termasuklah dalam bab bercinta. Cinta itu harus diatur dengan sebaik-baiknya agar tidak salah dan tersasar daripada penerapannya yang sebenar.

Rasa cinta sebenarnya itu sewajarnya dipendam dalam hati, dan kelak baru diungkapkan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah menurut ajaran Islam.

Sebelum berlakunya akad nikah, Islam tidak membenarkan seorang wanita bercanda dengan lelaki yang bukan mahramnya untuk mengungkapkan perasaan cinta, baik secara langsung mahupun melalui komunikasi di telefon atau talian chatting.

Ini kerana pada hakikatnya ia bukan sebuah cinta, melainkan nafsu syahwat dan tarikan sepintas lalu sahaja. Sedangkan di luar dari ruang pernikahan, Islam tidak pernah membenarkan semua itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).

Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya.

Pertama, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya perlu membetulkan niat apabila bercinta. Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat.

Seseorang muslim atau muslimah itu perlu berhati-hati dalam persoalan hati. Apatah lagi apabila jalinan perasaan tersebut melibatkan seorang yang berlainan agama. Sebabnya, seseorang Muslim hanya dibenarkan berkahwin dengan Muslim sahaja.

Jika salah seorang daripada pasangan bukan Islam tidak memeluk Islam, hukumnya mereka mestilah berpisah dan tidak boleh mengikat tali perkahwinan. Ini kerana seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya.

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan janganlah kamu mengahwini lelaki musyrik sehingga dia beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Sesungguhnya mereka itu menyeru kepada neraka. Manakala Allah menyeru kepada syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Selain ayat al-Quran di atas, terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa baginda SAW telah memberi peringatan yang sangat keras dalam hadis baginda mengenai azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana menyentuh wanita yang bukan mahramnya (tanpa ikatan perkahwinan yang sah.)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lebih baik ditembusi dengan jarum dari besi yang panas dari dubur sampai kepalanya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya". (riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu'jam al-Kabir)


Soalan 2:
Bagaimanakah cara untuk tarik minatnya terhadap Islam dan bagaimana cara untuk dia memeluk Islam? Bagaimanakah cara untuk saya memberi keterangan mengenai Islam terhadap gadis tersebut dan keluarganya. supaya mereka juga memeluk Islam, insya-Allah?
Jawapan:
Dakwah ditujukan kepada seluruh manusia dalam keadaan umurnya yang berbeza-beza, serta tingkatan kedudukannya di kalangan masyarakat di samping kecerdasan dan alam lingkungannya, dan kemahuan serta jalan fikirannya.
Kesemuanya berlainan!

Hal ini menyebabkan para daie (pendakwah) harus menjadi orang-orang yang bijaksana. Mahir dalam menyampaikan pendapat dan pengertiannya kepada sasarannya iaitu manusia yang beraneka ragam itu. Para daie harus mengerti, dari mana pintu masuk ke tiap-tiap rumah, dan bagaimana caranya memasuki rumah itu!

Antara strategi yang perlu ada adalah berkenalan dengan seseorang sebelum menyampaikan dakwah kepadanya.

Adalah suatu kewajipan bagi seorang daie, supaya ia berkenalan lebih dahulu dengan seseorang yang akan menerima dakwahnya.

Ia harus memahami terlebih dahulu, bagaimana latar belakang kehidupan orang itu, bagaimana jalan fikirannya, dan bagaimana pengertian dan gambarannya terhadap alam raya ini.
Para pendakwah harus menyelidiki hal itu dengan mengadakan wawancara dan sebagainya, sehingga ia menemui apa kekurangan dan kesulitan yang sedang dialami orang yang diserunya itu.

Haruslah diambil perhatian bahawa pintu dakwah itu hanya satu saja, iaitu menyakinkan orang yang diseru tentang ajaran Islam. Bahawa dakwah harus dimulai dengan akidah, menetapkan adanya Allah SWT dan diakhiri dengan menetapkan agama Islam sebagai peraturan hidup dan bahawa memulai kehidupan menurut syariat Islam.

Untuk melaksanakan misi dakwah kepada orang bukan Islam, kebijaksanaan daie amatlah diperlukan bagi mencari pintu yang memungkinkan ia dapat memasuki jiwa mad'unya (orang yang didakwah), sehingga ia berhasil meyakinkan mad'unya tentang kebenaran ajaran Islam yang dikemukakannya itu dan dapat menarik mad'unya memeluk Islam.

Dalam masalah ini, seharusnya kita bersandarkan hukum-hukum syarak yang kita jadikannya sebagai panduan dalam tindakan kita.

Tuntunan Islam untuk melaksanakan usaha murni ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW dalam mengetengahkan dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, al-Quran berulangkali menarik perhatian orang-orang musyrik untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran itu. Beberapa surah dimulai dengan huruf-huruf Hija'iyyah (alif, lam dan mim) dan sebagainya.

Huruf-huruf yang terputus-putus ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menggugah perhatian kaum Musyrikin, mendorong mereka untuk diam, tenang dan mendengarkan lanjutannya baik-baik. Walaupun sebenarnya kaum Musyrikin itu sering menutup telinganya dengan hujung jarinya, jika mereka mendengar ayat-ayat suci itu dibacakan!

Metod yang diterapkan oleh Rasulullah SAW berdakwah, tidak lain ialah penafsiran secara amali tentang pengarahan Allah dalam firman-Nya:

l Ajaklah umat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat yang baik... (al-Nahl: 125)

l Barang siapa yang diberi nikmat kebijaksanaan, maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. (al-Baqarah: 269)

Kebijaksanaan Rasulullah SAW ialah berusaha menggerakkan jiwa orang yang diserunya secara tidak langsung.

Misalnya pernah ada seorang pemuda minta izin kepada beliau supaya dibolehkan berzina. Maka Nabi SAW bersoal-jawab dengan pemuda itu apakah ia suka, jika orang berzina dengan ibunya, dengan saudaranya yang perempuan, dengan anak perempuannya, sehingga akhirnya orang itu insaf.

Demikian juga, kebijaksanaan baginda dapat dilihat dalam cara baginda menarik perhatian orang kepada Islam. Seterusnya membimbing orang itu ke jalan yang benar, pada waktu seorang lelaki datang lalu mengatakan ia mahu masuk Islam, tetapi merasa berat untuk mengamalkan ajaran-ajarannya yang banyak.

Maka Rasulullah bersabda: Mahukah engkau berjanji dengan saya untuk meninggalkan berdusta?

Orang itu mengira, tentu senang sekali, ia diperintahkan meninggalkan satu dosa saja, iaitu berdusta. Orang itu bersedia lantas memeluk Islam.

Tetapi kemudian setiap kali dia teringat mengerjakan sesuatu perbuatan yang tidak baik, dia selalu teringat akan janjinya. Dia merasa, bahawa esok atau lusa, seandainya bertemu dengan Rasulullah SAW maka dia mesti mengakui perbuatannya di hadapan Rasulullah dan tidak boleh berdusta. Dia merasa segan dan malu, tidak jadi mengerjakan pekerjaan yang tidak baik itu!
Akhirnya dia betul-betul menjadi orang yang baik.