26 Oktober 2009

Fitnah dan Perjuangan


Siapa tidak kenal Prof. Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fikah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini. Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal dunia. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh. Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencanakan ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang. Demikian Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservatif Tanah Melayu dengan tuduhan kaum muda dan Wahabi. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Tuduhan

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur‘ah. Tuduhan ini datang daripada gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli. Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara. Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat.” Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaan menuju ke sana, beliau meninggal dunia sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr). Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang.

-Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
bekas Mufti Perlis.

Tidak ada komentar: