14 Juni 2009

BerCINTA dengan Bukan Islam

Soalan 1:
Apakah hukumnya bercinta dengan orang berlainan agama. Adakah haram atau sebaliknya?

Jawapan:
Islam tidak menafikan perasaan cinta kerana ia adalah satu perasaan yang fitrah dalam kehidupan manusia. Hidup seseorang manusia sentiasa diliputi dengan cinta dan kasih sayang.
Islam mengakui adanya rasa cinta yang ada dalam diri manusia. Ketika seseorang memiliki rasa cinta, maka hal itu adalah anugerah Allah SWT: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (ali-'Imran: 14).

Namun, Islam sebagai al-Din memberi panduan lengkap bagi setiap lapangan hidup termasuklah dalam bab bercinta. Cinta itu harus diatur dengan sebaik-baiknya agar tidak salah dan tersasar daripada penerapannya yang sebenar.

Rasa cinta sebenarnya itu sewajarnya dipendam dalam hati, dan kelak baru diungkapkan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah menurut ajaran Islam.

Sebelum berlakunya akad nikah, Islam tidak membenarkan seorang wanita bercanda dengan lelaki yang bukan mahramnya untuk mengungkapkan perasaan cinta, baik secara langsung mahupun melalui komunikasi di telefon atau talian chatting.

Ini kerana pada hakikatnya ia bukan sebuah cinta, melainkan nafsu syahwat dan tarikan sepintas lalu sahaja. Sedangkan di luar dari ruang pernikahan, Islam tidak pernah membenarkan semua itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).

Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya.

Pertama, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya perlu membetulkan niat apabila bercinta. Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat.

Seseorang muslim atau muslimah itu perlu berhati-hati dalam persoalan hati. Apatah lagi apabila jalinan perasaan tersebut melibatkan seorang yang berlainan agama. Sebabnya, seseorang Muslim hanya dibenarkan berkahwin dengan Muslim sahaja.

Jika salah seorang daripada pasangan bukan Islam tidak memeluk Islam, hukumnya mereka mestilah berpisah dan tidak boleh mengikat tali perkahwinan. Ini kerana seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya.

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan janganlah kamu mengahwini lelaki musyrik sehingga dia beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Sesungguhnya mereka itu menyeru kepada neraka. Manakala Allah menyeru kepada syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Selain ayat al-Quran di atas, terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa baginda SAW telah memberi peringatan yang sangat keras dalam hadis baginda mengenai azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana menyentuh wanita yang bukan mahramnya (tanpa ikatan perkahwinan yang sah.)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lebih baik ditembusi dengan jarum dari besi yang panas dari dubur sampai kepalanya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya". (riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu'jam al-Kabir)


Soalan 2:
Bagaimanakah cara untuk tarik minatnya terhadap Islam dan bagaimana cara untuk dia memeluk Islam? Bagaimanakah cara untuk saya memberi keterangan mengenai Islam terhadap gadis tersebut dan keluarganya. supaya mereka juga memeluk Islam, insya-Allah?
Jawapan:
Dakwah ditujukan kepada seluruh manusia dalam keadaan umurnya yang berbeza-beza, serta tingkatan kedudukannya di kalangan masyarakat di samping kecerdasan dan alam lingkungannya, dan kemahuan serta jalan fikirannya.
Kesemuanya berlainan!

Hal ini menyebabkan para daie (pendakwah) harus menjadi orang-orang yang bijaksana. Mahir dalam menyampaikan pendapat dan pengertiannya kepada sasarannya iaitu manusia yang beraneka ragam itu. Para daie harus mengerti, dari mana pintu masuk ke tiap-tiap rumah, dan bagaimana caranya memasuki rumah itu!

Antara strategi yang perlu ada adalah berkenalan dengan seseorang sebelum menyampaikan dakwah kepadanya.

Adalah suatu kewajipan bagi seorang daie, supaya ia berkenalan lebih dahulu dengan seseorang yang akan menerima dakwahnya.

Ia harus memahami terlebih dahulu, bagaimana latar belakang kehidupan orang itu, bagaimana jalan fikirannya, dan bagaimana pengertian dan gambarannya terhadap alam raya ini.
Para pendakwah harus menyelidiki hal itu dengan mengadakan wawancara dan sebagainya, sehingga ia menemui apa kekurangan dan kesulitan yang sedang dialami orang yang diserunya itu.

Haruslah diambil perhatian bahawa pintu dakwah itu hanya satu saja, iaitu menyakinkan orang yang diseru tentang ajaran Islam. Bahawa dakwah harus dimulai dengan akidah, menetapkan adanya Allah SWT dan diakhiri dengan menetapkan agama Islam sebagai peraturan hidup dan bahawa memulai kehidupan menurut syariat Islam.

Untuk melaksanakan misi dakwah kepada orang bukan Islam, kebijaksanaan daie amatlah diperlukan bagi mencari pintu yang memungkinkan ia dapat memasuki jiwa mad'unya (orang yang didakwah), sehingga ia berhasil meyakinkan mad'unya tentang kebenaran ajaran Islam yang dikemukakannya itu dan dapat menarik mad'unya memeluk Islam.

Dalam masalah ini, seharusnya kita bersandarkan hukum-hukum syarak yang kita jadikannya sebagai panduan dalam tindakan kita.

Tuntunan Islam untuk melaksanakan usaha murni ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW dalam mengetengahkan dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, al-Quran berulangkali menarik perhatian orang-orang musyrik untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran itu. Beberapa surah dimulai dengan huruf-huruf Hija'iyyah (alif, lam dan mim) dan sebagainya.

Huruf-huruf yang terputus-putus ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menggugah perhatian kaum Musyrikin, mendorong mereka untuk diam, tenang dan mendengarkan lanjutannya baik-baik. Walaupun sebenarnya kaum Musyrikin itu sering menutup telinganya dengan hujung jarinya, jika mereka mendengar ayat-ayat suci itu dibacakan!

Metod yang diterapkan oleh Rasulullah SAW berdakwah, tidak lain ialah penafsiran secara amali tentang pengarahan Allah dalam firman-Nya:

l Ajaklah umat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat yang baik... (al-Nahl: 125)

l Barang siapa yang diberi nikmat kebijaksanaan, maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. (al-Baqarah: 269)

Kebijaksanaan Rasulullah SAW ialah berusaha menggerakkan jiwa orang yang diserunya secara tidak langsung.

Misalnya pernah ada seorang pemuda minta izin kepada beliau supaya dibolehkan berzina. Maka Nabi SAW bersoal-jawab dengan pemuda itu apakah ia suka, jika orang berzina dengan ibunya, dengan saudaranya yang perempuan, dengan anak perempuannya, sehingga akhirnya orang itu insaf.

Demikian juga, kebijaksanaan baginda dapat dilihat dalam cara baginda menarik perhatian orang kepada Islam. Seterusnya membimbing orang itu ke jalan yang benar, pada waktu seorang lelaki datang lalu mengatakan ia mahu masuk Islam, tetapi merasa berat untuk mengamalkan ajaran-ajarannya yang banyak.

Maka Rasulullah bersabda: Mahukah engkau berjanji dengan saya untuk meninggalkan berdusta?

Orang itu mengira, tentu senang sekali, ia diperintahkan meninggalkan satu dosa saja, iaitu berdusta. Orang itu bersedia lantas memeluk Islam.

Tetapi kemudian setiap kali dia teringat mengerjakan sesuatu perbuatan yang tidak baik, dia selalu teringat akan janjinya. Dia merasa, bahawa esok atau lusa, seandainya bertemu dengan Rasulullah SAW maka dia mesti mengakui perbuatannya di hadapan Rasulullah dan tidak boleh berdusta. Dia merasa segan dan malu, tidak jadi mengerjakan pekerjaan yang tidak baik itu!
Akhirnya dia betul-betul menjadi orang yang baik.

08 Mei 2009

Mengenang jasa ibu bapa tuntutan sepanjang hayat

IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23) Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.

Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak. Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun. Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14) Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya. Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan. Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.

Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu. Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith) Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu. Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya. Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.” Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun. Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi. Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh. Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka. Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah. Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

07 April 2009

Mufti sepakat hentikan persenda al-Quran

KUALA LUMPUR 6 April - Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia hari ini memutuskan tindakan orang bukan Islam yang membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi tujuan kempen politik merupakan cubaan mempersendakan kesucian dan keagungan kitab suci itu.

Pada masa yang sama, semua umat Islam terutama ahli-ahli politik juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan kitab suci al-Quran semata-mata demi kepentingan politik.

''Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia hari ini berpandangan, tindakan mana-mana orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk tujuan kempen politik adalah cubaan mempersenda kesucian dan keagungan al-Quran,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Persidangan Mufti-mufti Seluruh Malaysia Kali Ke-4 yang membincangkan isu ahli politik bukan Islam membaca ayat al-Quran semasa kempen pilihan raya.

Persidangan itu diadakan ekoran tercetus isu penggunaan ayat al-Quran oleh Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu ceramahnya ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Perak malam semalam.

Ia bertujuan meraih sokongan orang Melayu dan difahamkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis dan Ahli Parlimen Taiping itu mempersendakan ayat-ayat suci al-Quran telah banyak kali dilakukan dalam sesi ceramahnya sebelum ini.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memberitahu, al-Quran merupakan mukjizat terbesar diturunkan oleh Allah sebagai wahyu kepada seluruh umat manusia.

Menurut kenyataan itu lagi, melalui al-Quran manusia perlu mengambil manfaat dan hidayah daripadanya.

''Oleh itu sejajar dengan keunggulannya, ia mestilah dibaca dengan tujuan dan niat yang betul. Di dalam Islam setiap bacaannya merupakan satu ibadah," tambah kenyataan itu lagi.

05 Maret 2009

Gangguan Saka

Pengenalan :
Gangguan saka ialah gangguan jin yang datang dari asalnya dibela oleh keturunan keluarga pesakit. Saka bererti bahawa salah seorang daripada keturunan teratas pesakit seperti datuk, nenek, moyang, ibu atau bapa yang mempunyai atau mempelajari ilmu-ilmu yang melibatkan jin-jin atau bantuan-bantuan jin.

Jin-jin ini akan berpindah kepada keturunan yang berikutnya apabila waris yang asal meninggal dunia. Ini berlaku apabila waris yang mati itu tidak sempat membuang ilmu yang diamalkan atau tidak membebaskan jin-jin yang mendampinginya sebelum waris itu meninggal dunia. Kadang kala waris itu sengaja hendak memberi atau menghadiahkan ilmu atau jin itu kepada anak-anak atau cucu-cucit yang dia telah memilih sebelum dia meninggal dunia. Apabila ini berlaku, waris itu berupaya melakukan sesuatu yang pernah dilakukan oleh orang yang menurunkan saka tadi yang pada kebiasaannya melibatkan usaha rawatan, biarpun tanpa proses pembelanjaran.

Salah satu dari ciri-ciri yang ada pada makhluk jin ini ialah kesetiaan pada tuan yang mempunyainya. Sekiranya tuan empunya jin itu tidak membebaskan jin-jin didalam kekuasaan dia, jin-jin tersebut akan sentiasa berkhidmat kepada tuan empunya hinggalah tuannya itu meninggal dunia, dan jin-jin ini kemudian akan berdamping dengan anak-anak atau cucu-cicit tuannya itu.

Jenis-jenis atau Punca Penyakit :
Ada dua jenis gangguan saka ia itu gangguan dari jin-jin dan keduanya dari ilmu-ilmu batin yang ditinggalkan oleh waris-waris pesakit.

Sintom :
Kadang kalanya pesakit tidak mengetahui yang dirinya didampingi oleh jin-jin saka ini. Sintom gangguan saka adalah serupa dengan sintom gangguan jin. Ia kadang-kadang berbeza di antara pesakit-pesakit.

Simtom yang selalu dirasa oleh pesakit adalah:
1. Sakit anggota badan - bahagian pinggang dan tulang belakang, tengkuk dan leher, kepala, rahim dan sebagainya.
2. Gangguan emosi dan perasaan.
3. Gangguan pemikiran dan minda.
4. Gangguan tidur
(Untuk keterangan lanjut sila lihat dibawah sintom-sintom gangguan jin dan sihir)

CARA RAWATAN PERUBATAN SYIFA' AL-HIDAYAH
1. Jin-jin saka didalam tubuh badan hendaklah dikeluarkan melalui cara batin (dengan keizinan Allah s.w.t) dan pesakit hendaklah datang berjumpa Syifa Al-Hidayah.
2. Membaca ayat-ayat AL-Quran khusus untuk sakit ini serta mohon doa kepada Allah s.w.t untuk sembuh dari penyakit saka ini.
3. Minum air mineral yg ditawarkan dan berdoa kepada Allah s.w.t untuk memohon sembuh dari penyakit saka ini.

SENARAI BACAAN AYAT-AYAT PENAWAR UNTUK PENYAKIT GANGGUAN SAKA:
(Pesakit hendaklah berjumpa Syifa Al-Hidayah terlebih dahulu sebelum memulakan amalan-amalan ini.)

A. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:
1. Surah Asy-Asyu'araa' ayat 95 hingga 118, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Fussilat ayat 25 hingga 38, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

B. Amalan Minggu Ketiga dan Keempat:
1. Surah Al-Taha ayat 60 hingga 70, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Ar-ra'd ayat 30 hingga 34, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

C. Amalan Minggu Kelima dan Keenam:
1. Surah Al Baqarah ayat 1 hingga 20, baca 3 kali selepas solat Magrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
2. Surah Rahmaan ayat 21 hingga 60, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah s.w.t.

Rawatan seterusnya, sila hubungi Syifa Al-Hidayah

13 Februari 2009

Memuliakan Sultan dan Pemerintah

Sejarah mencatatkan bahawa peranan dimainkan Istana amat besar dalam memastikan Islam terus berkembang dan dipertahankan di negara ini selepas disebarkan melalui pengaruh Raja-Raja Melayu, sejak zaman Melaka lagi.

Dalam Islam, pemegang fungsi kepemimpinan disebut sebagai imam dan istilah kepemimpinan disebut imamah. Sedangkan penyebutan istilah pemimpin negara dalam sejarah kebudayaan Islam menggunakan istilah beraneka ragam seperti khalifah, amir, sultan dan wali.

Mengenai perlunya ada pemimpin ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antaranya menjadi pemimpin." (Hadis riwayat Abu Daud)

Berkait dengan pemerintah, Saidina Umar ada menyebut: "Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan. Ketaatan itu dihubungkan dengan baiah."

Baiah adalah perjanjian untuk memberi ketaatan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia sunnah Nabi SAW yang pernah diberikan sahabat beberapa kali kepada Rasulullah SAW seperti Baiatul Aqabah pertama dan kedua serta Baiatul Ridhwan.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Junaidah bin Abi Umayyah daripada 'Ubaidah bin Al-Samit yang menyatakan: "Rasulullah SAW memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada Baginda. Kemudian 'Ubaidah berkata: Di antara perkara diminta kami berjanji ialah; kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua) dalam urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas."

Justeru, masyarakat Islam negara ini mempunyai vokal tersendiri terhadap Raja mereka. Rakyat bukan saja meyakini institusi Raja sebagai pelindung agama bahkan institusi Raja juga menjadi pelindung kepada rakyat. Sebenarnya, menjadi tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia. Ia jelas termaktub umpamanya dalam sumpah atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika menaiki takhta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang mentaatiku bererti ia mentaati Allah. Barang siapa yang menderhakaiku, maka ia sudah menderhakai Allah. Barang siapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barang siapa yang menderhakai amirku bererti ia menderhakaiku." (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Baginda lagi bermaksud: "Kamu akan diperintah oleh pemerintah selepas aku; yang baik akan memerintah kamu dengan kebaikannya dan yang tidak baik akan memerintah kamu dengan keburukannya, maka hendaklah kamu dengar dan taat kepada mereka pada setiap perintah yang sesuai dengan kebenaran; jika mereka melakukan kebaikan, maka kebaikan itu bagi kamu dan bagi mereka; tetapi jika mereka melakukan kejahatan, maka kamu akan beroleh kebaikan, tetapi mereka akan menerima akibat kejahatan yang mereka lakukan." (Hadis ini disebut oleh Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah dari riwayat Abu Hurairah)

07 Februari 2009

Tazkirah.. Akhlak

TALAM DUA MUKA
Daripada Abu Hurairah r.a.,Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,
"Kamu mendapati antara manusia yang terjahatadalah yang bermuka dua,ia mendatangi kelompok ini dengan satu wajahdan mendatangi kelompok laindengan wajah yang lain."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MENAMPILKAN IMEJ BURUK
Daripada Aishah r.ha.,Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,
"Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannyadi sisi Allah ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia lain kerana khuatir dengan kejahatan dirinya."(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BERBOHONG DAN MEMBUAT PERANCANGAN JAHAT
Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansari r.a.,Nabi Muhammad S.A.W. bersabda,
"Sesiapa yang menipu kami bukanlah daripada golongan kami;dan balasan bagi perancangan jahat dan tipu dayaadalah neraka."(Riwayat al-Tabrani)

-http://msbutterfly77.blogspot.com/

23 Januari 2009

Qunut Nazilah

Maksudnya:

Ya Allah ya tuhan kami, sesungguhnya kami menjadikan kamu sebagai pendinding kepada musuh-musuh kami, dan kami berlindung daripada kejahatan mereka.

Ya Allah ya tuhan kami, binasakan kesempurnaan mereka, dan pecah belahkan jemaah mereka, dan gagapkan perkataan mereka, goyahkan pendirian mereka, dan hantarkan anjing ke atas mereka dari anjing-anjing Mu.

Wahai tuhan Yang Maha Gagah, wahai tuhan Yang Maha Perkasa, wahai tuhan Yang Maha Pembela.. ya Allah, ya Allah, ya Allah.

Wahai tuhan yang menurunkan al Kitab ( al Quran ), dan yang menjalankan awan, wahai tuhan yang menghancurkan tentera Al Ahzab, hancurkan mereka dan tolonglah kami mengalahkan mereka..

03 Januari 2009

Bisikan Murni

MANUSIA suka mendengar suara hati orang lain, rahsia dan kisah hidup mereka. Namun, pernahkah seseorang cuba mendengar bisikan hatinya sendiri? Bisikan yang bergema dalam hati sebenarnya berkisar mengenai urusan dunia dan akhirat, yang mana lebih sering kedengaran bergantung kepada pilihan sendiri.

Sesiapa yang mampu mengawal bisikan hatinya nescaya dia hanya mengeluarkan tekad, keyakinan dan cita-cita yang baik. Sebaliknya sesiapa yang dikawal oleh bisikan jahat hatinya, maka keluarlah niat jahat, dosa dan penuh maksiat.

Rasulullah SAW bersabda membenarkan hakikat ini yang bermaksud: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya seorang teman daripada jin dan malaikat. Sahabat bertanya: Walaupun dirimu sendiri wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, sehingga saya sendiri pun tetapi Allah menolongku menghadapinya lalu dia menyerah diri dan tidak menyuruhku melainkan kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa syaitan mengalir bersama aliran darah anak Adam? Jika kita boleh terus beringat dan menegur diri sendiri bahawa ada bisikan yang mesti kita pilih serta jangan melupakan pengaruh malaikat dan jin dalam bisikan itu, nescaya kita berhati-hati melakukan suatu tindakan.

Pergerakan tangan, kaki, mata, telinga dan hati yang memiliki lintasannya harus waspada, adakah berasal daripada bisikan jin atau malaikat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan mempengaruhi lintasan hati anak Adam dan malaikat juga mempunyai pengaruh. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia supaya melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan malaikat ialah mengilhamkannya melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Al-Nasa'I dan Ibnu Hibban).
Bagi memastikan bisikan berasal daripada malaikat seseorang dituntut menyibukkan hati dengan empat amalan.