01 Januari 2009

"MAAL HIJRAH : MENJANA UMMAH GEMILANG"

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada allah s.w.t dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Sentiasalah kita beristiqomah dengan sunnat rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita akan termasuk didalam golongan orang yang mendapat syafaat dihari akhirat kelak.

Umat islam dinegara kita khususnya sekali lagi akan menyambut salah satu hari kebesaran islam iaitu Maal Hijrah yang jatuh pada 1 Muharam setiap tahun hijrah.

Secara lazimnya,sambutan Maal Hijrah ini diadakan secara besar-besaran diseluruh negara dengan mengadakan majlis-majlis keagamaan seperti ceramah,forum dan sebagainya sempena memperingati peristiwa bersejarah penghijrahan rasulullah s.a.w daripada mekah ke madhinah munawarah.

Kisah penghijrahan ini sebahagiannya telah dirakamkan oleh allah s.w.t didalam al-quran surah at-taubat ayat 40:
"Kalau kamu tidak menolongnya (nabi muhammad) maka sesungguhnya allah telah pun menolongnya,iaitu ketika kaum kafir (di mekah) mengusirnya (dari negerinya mekah) sewaktu dia menjadi salah seorang daripada dua (sahabat) yang berlindung didalam gua,ketika dia berkata kepada sahabatnya,"Janganlah engkau berdukacita,sesungguhnya allah bersama kita".

Maka menurunkan ketenangan kepada (nabi muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah allah (islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana allah maha perkasa,lagi maha bijaksana".

Sesungguhnya peristiwa hijrah rasulullah s.a.w ke kota madhinah memberikan pengertian yang amat mendalam kepada umat islam,bermula dengan kesukaran dan keperitan menempuh padang pasir yang panas membakar dan diburu oleh kaum quraish mekah sehinggalah kepada terbentuknya sebuah negara islam madhinah yang berdaulat.Kebijaksanaan rasulullah s.a.w mengurus tadbir masyarakat madhinah ketika itu telah dapat menyatukan kaun Aus dan Hajrat yang sering bertelagah sesama sendiri.

Kebijaksanaannya juga disamping pertolongan allah telah dapat menundukkan kaum yahudi atau bani israil yang tinggal dikota madhinah supaya menerima perjanjian yang ditawarkan oleh baginda s.a.w.Sikap kepimpinan yang matang,yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w islam tanpa sebarang pertumpahan darah.Dengan pengorbanan baginda s.a.w jugalah akhirnya islam telah mencapai kejayaan dan kegemilangan diseluruh pelusuk dunia,termasuklah dinegara kita yang tercinta ini.

Kecemerlangan rasulullah s.a.w didalam segenap aspek kehidupan telah meletakkan islam pada kedudukan yang tinggi dimata dunia sehingga kehari ini.
Kaum muslimin yang berbahagia,

Rasulullah s.a.w telah bersabda didalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota mekah,tetapi hijrah yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa),dan apabila dipanggil untuk berjihad hendaklah kamu bersiap sedia".

Berdasarkan maksud hadis diatas jelaslah bahawa konsep hijrah masih boleh diperluaskan kepada perkara-perkara lain yang memberi maksud perpindahan atau perubahan.Perubahan sikap daripada keadaan yang kurang baik kepada yang terbaik.Dalam hal ini sudah tentulah rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dapat dijadikan sebagai contoh ikutan insan cemerlang dari semua sudut.

Umat islam tidak akan menjadi cemerlang dan terbilang melainkan ianya mestilah bermula daripada individu yang cemerlang sebagaimana yang telah berjaya dilakukan oleh rasulullah s.a.w dimekah dan al-madhinah munawarah.

Syeikh Said Hawa didalam penulisannya bertajuk sahsiah islamiah ada menyatakan bahawa untuk menjadi individu yang baik, mestilah bermula dengan pembinaan sahsiah diri sendiri.

Persoalannya,bagaimanakah caranya untuk membina sahsiah atau kepribadian yang baik dalam diri sendiri?.

Diantara perkara yang perlu dititikberatkan didalam usaha melahirkan insan cemerlang ialah;

1- Kesedaran untuk melakukan perubahan.
Kecemerlangan tidak akan terhasil selagi manusia tidak berusaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik bagi dirinya dan orang lain.

Bak kata pepatah "Yang bulat takkan datang menggolek,yang pipih takkan datang melayang".

Firman allah s.w.t:
"Sesungguhnya allah s.w.t tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".
(Ar-Rad ayat 11)

2- Menetapkan akidah islam dalam diri individu.
Akidah islam merupakan tunjang kekuatan individu muslim untuk membina kecemerlangan didalam kehidupan mereka.Akidah inilah telah diterapkan oleh rasulullah s.a.w kepada para sahabat r.a diperingkat permulaan dakwah islam sehingga akhirnya mereka meninggalkan terus amalan-amalan buruk yang pernah dilakukan dizaman jahiliah.

Sahabat-sahabat rasulullah s.a.w ini diumpamakan seperti bintang-bintang dilangit yang menyinari bumi.Mereka juga digambarkan sebagai ibadat di malam hari dan pejuang yang tangkas disiang hari.

Inilah kecemerlangan para sahabat r.a yang dibina oleh rasulullah s.a.w diatas landasan akidah islam.

Allah s.w.t telah berfirman didalam surah al-hujurat ayat 15 :
"Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada allah dan rasulnya,kemudian mereka (terus percaya dengan ) tidak ragu-ragu lagi,serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan allah.Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya).

3- Memiliki akhlak islam yang baik.
Akhlak didalam islam memberikan maksud yang amat luas merangkumi segenap aspek kehidupan manusia baik dalam soal perilaku,ibadat,mahu pun dalam soal bermasyarakat dan bernegara.

Apalah ertinya cemerlang,jika kita masih mengabaikan aspek-aspek ibadat dalam kehidupan kita, apalah ertinya cemerlang jika masing-masing tidak mengambil peduli tentang apa yang berlaku kepada masyarakat disekelilingnya.

Sesungguhnya kecemerlangan seseorang individu itu dapat diukur melalui akhlaknya,jika baik akhlaknya,maka ia mempunyai potensi yang baik untuk cemerlang, tetapi jika buruk akhlaknya ,maka sudah tentulah ia tidak mampu menjadi seorang insan yang cemerlang dalam erti kata yang sebenarnya.

Allah s.w.t berfirman didalam surah al-qalam ayat 4:
"Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang amat mulia".

4- Mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan
Firman allah s.w.t didalam surah Az-Zumra ayat 9:
"Katakanlah lagi (kepadanya):"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?". Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna".

5- Melaksanakan amar Makruf Nahi Munkar didalam Masyarakat.
Firman allah s.w.t didalam surah Ali-Imran ayat 110:
"Kamu (wahai umat muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia,(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),serta kamu pula beriman kepada allah (dengan sebenar-benar iman). (Sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.(Tetapi) antara mereka ada yang beriman,dan kebanyakkan mereka orang yang fasik".


Jelasnya daripada ayat diatas,bahawa Amar Makruf Nahi Munkar merupakan prinsip yang amat ditekankan oleh islam untuk membendung gejala sosial yang berlaku didalam masyarakat.

Seorang hamba yang cemerlang disisi allah s.w.t ialah seorang yang dapat mengajak orang lain melakukan sesuatu kebaikkan dan dalam masa yang sama dia juga melakukan kebaikkan tersebut.

Oleh itu, sempena dengan sambutan Maal Hijrah tahun ini,marilah sama-sama kita berhijrah melakukan perubahan yang terbaik, memantapkan akidah islam dalam diri kita, berakhlak dengan akhlak islam, mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan melaksanakan Amar Makruf serta mencegah kemunkaran.

"Tidak ada seorang pun yang lebih baik perkataannya daripada seorang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) allah,serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh,sambil berkata:"Sesungguhnya aku tergolong dikalangan orang islam (yang patuh kepada allah)!".
(Fusilat ayat 33)

Ya-allah, engkaulah tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadratmu ya-allah, tetapkanlah iman kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah generasi muda kami kejalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Tidak ada komentar: