06 Desember 2008

Ibadah Qurban

ULAMA ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia. Kaedah yang dimaksudkan adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba') sunnah Nabi SAW.

Firman Allah SWT: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun. (al-Mulk: 2).

Oleh itu, sewajarnya dalam melaksanakan ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha ini, kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah- sunnah Nabi seperti berikut:

Waktu Penyembelihan
Penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW: "Seluruh hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan". (riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no: 16151).

Haiwan korban
Sabda Rasulullah SAW: "Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus)". (riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 2420).

Tidak menggunting rambut dan memotong kuku
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dia tidak boleh menggunting rambut dan memotong kukunya semenjak tarikh 1 Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sabda Nabi SAW: Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1977).

Menurut Imam al-Nawawi r.a: "Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atu bulu-bulu lain di bahagain anggota badan yang lain". (Rujuk Kitab Syarh Muslim karya Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139. Dinukil dari kitab Ahkaam al-'Iedain fis Sunnah al-Muthaharah karya Syeikh 'Ali bin Hassan al-Halabi al-Atsari, Pustaka Imam asy-Syafie, Jakarta (2005), ms. 98).

Bagi mereka yang sengaja atau tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian
Jabir r.a berkata: Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk tujuh orang dan menyembelih lembu untuk tujuh orang bersama-bersama Rasulullah SAW. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1318).

Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya
Atha' bin Yassar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansori tentang cara berkorban pada zaman Rasulullah lalu Abu Ayyub menjawab: "Dulu seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain". (riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 1425).

Dilaksanakan di musolla
Daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a, dia berkata: Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah keluar menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat hari raya. (riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 956).

Sunnah menyembelih sendiri
Anas r.a berkata: Nabi pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Namun, dibolehkan juga bagi mereka yang ingin berkorban mewakilkan penyembelihan kepada orang Islam yang lain.

Menyembelih haiwan korban mengikut sunnah
Sebelum upacara menyembelih diadakan, baringkan haiwan korban tersebut pada sebelah sisi kirinya agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan memegang atau menahan lehernya dengan tangan kiri. Ketika menyembelih hendaklah membaca Bismillahir Rahmanir Rahim.

Anas r.a berkata: Nabi SAW pernah berkorban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir seraya meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 5565).

Ketika menyembelih kita hendaklah mengerat salur udara, kerongkong dan saluran darah leher haiwan tersebut tanpa mengerat gentian saraf di dalam tulang belakang. Darah dari anggota badan haiwan korban tersebut hendaklah dialirkan keluar sepenuhnya sebelum melapahnya.

Daging korban tersebut boleh dimakan, disedekah dan dihadiahkan
Sunnah bagi keluarga yang melakukan ibadah korban turut memakan sebahagian daging, menghadiahkan sebahagiannya kepada orang lain dan menyedekahkan sebahagian yang lain. Malah, mereka juga boleh menyimpan daging tersebut.

Sabda Nabi SAW: Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (riwayat al-Muslim di dalam Sahihnya, no: 1971).

Tidak boleh mengupah tukang sembelih dengan daging korban
Upah kepada tukang sembelih hendaklah diberikan menggunakan harta sendiri dan bukannya dari hasil daging binatang korban itu.

Ali r.a berkata: Nabi SAW pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1317).

1 komentar:

Wan mengatakan...

Assalamualikum

Jangan lupa,

Qurban Perdana Pemuda Subang

Pada hari raya pertama Aidil Adha 8hb Disember 2008 di Surau Malikul Soleh KMST, Subang