27 November 2008

Majlis Fatwa Kebangsaan : HARAM YOGA

Utusan 23 Nov. - SELEPAS pengharaman pengkid, Sabtu lalu Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pula satu keputusan yang mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga.

Keputusan mengharamkan umat Islam daripada mengamalkan yoga itu kerana dibimbangi akan menghakis akidah jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi. Kita juga perlu sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga yang bertauliah terdiri daripada bukan Islam.

Daripada gerakan fizikal, melalui bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan alam atau Tuhan, ia sudah cukup membuktikan amalan senaman yoga sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Walaupun senaman yoga dikatakan amalan penjagaan kesihatan yang terbaik tetapi ia tidak sesuai untuk umat Islam kerana perbuatannya boleh merosakkan akidah kerana dalam Islam terdapat tiga elemen yang boleh menjejaskan akidah iaitu keyakinan hati, pengakuan dengan lidah dan perbuatan.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya bertujuan untuk menjaga kepentingan dan akidah umat Islam.